Pusat Rekreasi Air Jeram Besu atau lebih dikenali sebagai ”Besu Rapids” bagi penduduk tempatan di Sungai Lipis merupakan lokasi kegiatan sukan air dan rekreasi yang terkenal sejak 1990-an. Kawasan riadah itu pernah menjadi tuan rumah bagi penganjuran sukan berkenu, perahu getah dan rakit redah jeram di peringkat antarabangsa.
Terletak sejauh enam kilometer dari pekan Benta, Lipis dan kira-kira 30 kilometer dari bandar Raub, lokasi berkenaan sering dilawati untuk kegiatan riadah di kalangan penuntut institusi pengajian tinggi dan pelajar bagi menjalankan aktiviti sukan lasak . Sungai Lipis dipenuhi batu-batan dan jeram yang alirannya bermula dari kawasan Dong di Raub sentiasa memikat pengunjung terutama di kalangan ahli sukan lasak tempatan dan luar negara .
Aliran air menuruni batu-batan nampak cantik di lima jeram yang dianggap mencabar. Kegiatan sukan lasak iaitu berkayak di Jeram Besu dikatakan bermula sejak dua dekad lalu. Jeram Besu merupakan lokasi sukan air yang diwartakan oleh Kementerian Belia dan Sukan pada 1993.
