Pulau Chekas merupakan salah satu kawasan rekreasi yang terletak di Raub Pahang. Ianya terletak lebih kurang 35 kilometer dari Bandar Raub dan hanya 14 kilometer dari Pekan Dong dan hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit perjalanan menaiki kenderaan yang menyusuri jalan kampung berturap. Pulau Chekas ini telah mendapat nama apabila terdapat sebuah daratan yang terbentuk di tengah laluan air sungai yang terbahagi dua merupakan keunikan Pulau Chekas yang tersendiri. Jika dilihat di sebelah kanan dataran Pulau Chekas ini terdapat alur sungai berbatu dengan air yang mengalir sederhana deras manakala di sebelah kirinya pula, alirannya lebih tenang dan kurang berbatu.
Di kawasan rekreasi Pulau Chekas ini juga terdapat pelbagai kemudahan awam yang telah disediakan seperti tandas awam, bilik menyalin pakaian, bangku rehat, gerai, kawasan letak kereta, jambatan gantung, tapak perkhemahan, dataran kecil untuk aktiviti kekeluargaan dan lain-lain lagi. Selain itu, terdapat juga papan gelungsur yang berakhir dengan sebuah kolam buatan yang terbentuk daripada aliran sungai yang diempangkan untuk kanak-kanak. Oleh itu, para pengunjung perlulah menjaga kebersihan di kawasan ini supaya keindahan Pulau Chekas ini akan terus dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
