Bunga Pakma atau lebih dikenali sebagai Bunga Rafflesia merupakan sejenis tumbuhan berbunga yang amat besar. Bunga Rafflesia ini merupakan sejenis tumbuhan yang aneh kerana ianya mempunyai bentuk yang sangat unik dan tidak serupa dengan pokok-pokok bunga yang lain.
Bunga Rafflesia ini boleh dilihat secara lebih dekat lagi di Lata Jarum, Ulu Dong yang kini menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar yang ingin menyaksikan sendiri keunikan bunga terbesar di dunia itu. Sejak awal tahun ini, ratusan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menyaksiakan sendiri puluhan kudup atau tunas bunga rafflesia yang kini tumbuh mekar di Lata Jarum.
Keunikan bunga ini dapat dilihat apabila bunga ini sudah berkembang dan ianya akan mengeluarkan bau yang sangat busuk. Bunga Rafflesia ini juga tidak mempunyai daun untuk memproses karbon dioksida dan cahaya matahari untuk menghasilkan gula dan oksigen serta ianya tidak mempunyai akar untuk menyerap air dan mineral dari tanah untuk diproses sebagai protein. Bunga ini juga hanya perlu menyerap nutrisi dari perumahnya iatu tumbuh-tumbuhan lain.
Pengunjung juga boleh menikmati panorama di taman eko rimba Lata Jarum ini. Pengawas Hutan Raub iaitu Encik Zainudin Mahmud berkata, Bunga Rafflesia ini mengambil masa sehingga Sembilan bulan untuk berkembang dan setakat ini terdapat hampir 40 kudup bunga manakala satu masih berkembang. Pihaknya juga kini mengambil pendekatan dengan mengawal jumlah kehadiran supaya ianya tidak menjejaskan flora dan fauna di kawasan Lata Jarum ini.
